Keretapi Tenom Menyedihkan Tidak Dinaiktaraf – Shafie

“Sungguh menyedihkan melihat keadaan perkhidmatan kereta api antara Kota Kinabalu dan Tenom, sedangkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan berbilion Ringgit untuk membina landasan berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Tumpat di Kelantan”_Datuk Shafie Apdal, Daily Express, 10 Oktober 2017.

ULASAN : 

Daerah Tenom terletak kira-kira 173 kilometer dari Kota Kinabalu. Selain daripada laluan kereta api antara Tenom-Beaufort (48 kilometer) dan seterusnya ke Tg. Aru, terdapat jalanraya utama yang menghubungkannya dengan daerah-daerah lain di Sabah seperti jalanraya Tenom-Keningau-Kimanis-Papar-Kota Kinabalu, Tenom-Keningau-Tambunan-Ranau-Sandakan, Tenom-Keningau-Tawau, dan Tenom-Sipitang-Beaufort-Kuala Penyu.

Walaupun rangkaian perhubungan jalanraya ke daerah Tenom tersedia, usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam ke daerah ini dan kawasan sekitarnya sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

Hal ini terbukti apabila Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM101 juta untuk menaik taraf infrastruktur dan perkhidmatan keretapi di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata peruntukan itu telah diluluskan untuk pelaksanaan tiga projek iaitu menaik taraf landasan keretapi dari Halogilat Beaufort ke Tenom, pengambilalihan tiga Diesel Multiple Unit (DMU) (telah dilancarkan pada Mac 2017) dan menjalankan kajian mengenai sistem komunikasi untuk perkhidmatan keretapi di Sabah.

Kajian yang dimaksudkan akan mengenalpasti peralatan komunikasi yang sesuai dan moden yang akan dipasang untuk meningkatkan tahap keselamatan trek kereta api yang ada sepanjang 134 kilometer dari Tanjung Aru ke Tenom.

“Datuk Seri Shafie Apdal Menteri Cemerlang, Percepat kadar pembangunan kawasan luar bandar sebanyak tujuh kali ganda” Selanjutnya – Baca Sini

Jabatan Keretapi Negeri Sabah sebelum ini telah melancarkan satu set kereta api baru yang beroperasi sepanjang laluan sepanjang 48 kilometer antara Beaufort dan Tenom. Pembangunan baru ini secara tidak langsung akan menarik pelancong domestik dan asing seterusnya dapat meningkatkan potensi pelancongan dan ekonomi masyarakat setempat.

Pembangunan yang dibawa oleh kerajaan tidak hanya terbatas kepada pembangunan fizikal tetapi meliputi pembangunan modal insan. Program Kesedaran Kereta Api Nasional Zon Sabah anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Technology Depository Agency (TDA) bertujuan untuk menyebarkan maklumat dan mendedahkan pelajar kepada keperluan kemahiran dalam industri kereta api, terutama di Sabah.

Keretapi di Sabah

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan dan Penasihat Industri TDA berkata program tersebut merupakan inisiatif bersama untuk menutup jurang permintaan modal insan industri kereta api di Malaysia. Menurutnya, modul latihan kereta api di institusi pembelajaran adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk meningkatkan modal insan dan mendorong negara ke arah mencapai status negara maju.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pelajaran Politeknik berkata Jabatan Pendidikan Politeknik komited dalam membangunkan kurikulum dan program khusus untuk sektor kereta api. Antara langkah yang diambil ialah penambahan kursus baru di bawah program Diploma Kejuruteraan Mekatronik, iaitu kursus Isyarat dan Komunikasi, selaras dengan keperluan industri kereta api.

Untuk catatan, TDA adalah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang menjalankan program kerjasama industri (ICP) dengan pemain perindustrian seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Thales Group, CKM Landas Sdn Bhd dan Akademi Keretapi Asia yang menawarkan modul latihan keretapi ‘Rolling Stock Railway and Signaling and Communication’ di institusi pembelajaran terpilih termasuk politeknik berdasarkan standard semasa dan permintaan pasaran.

Artikel Sumbangan Pembaca

Share this post

scroll to top