Anggota Rela perlu laksanakan tugas dengan ikhlas

KENANG-KENANGAN.. Bolkiah bersama Anggota Rela Mukim Pinggan-Pinggan bergambar beramai-ramai selepas acara berkenaan

PITAS: Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Bolkiah Haji Ismail menyeru kepada anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) daerah ini supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan tulus dan ikhlas.

Katanya, sebagai sebuah unit yang diberi kepercayaan oleh kerajaan hendaklah mematuhi peraturan yang telah digariskan sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksana dengan taat setia, jujur dan amanah.

Menurutnya, anggota Rela diumpamakan sebagai duta kecil kerajaan yang menjadi mata, telinga, mulut, kaki dan tangan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal keselamatan di peringkat akar umbi.

Katanya, selain Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung, anggota Rela antara unit keselamatan peringkat akar umbi yang terlebih awal mengetahui tentang kes jenayah dan mereka wajib bertindak untuk melaporkan kepada pihak yang berwajib ke atasnya demi keselamatan kawasan tersebut dari terus menjadi sarang penjenayah.

Sehubungan itu, adalah wajar anggota Rela di setiap peringkat dan kawasan diberi kefahaman yang mendalam melalui kursus agar mereka tahu undangan-undang dan tidak mudah terjebak sehingga mencemarkan imej agensi mereka sendiri.

Katanya lagi, meskipun tidak diberi kuasa sepenuhnya oleh pihak bertanggungjawab terhadap keselamatan keseluruhannya namun, anggota Rela sebagai gandingan mantap kepada anggota keselamatan yang lain yang berkuasa penuh terhadap keselamatan negara.

Tambahnya, dalam keadaan anggota Rela sekarang sudah pasti kerajaan telah mengkaji selidik dan bakal menaiktaraf kedudukan anggota Rela di pelbagai peringkat agar mereka setaraf dengan anggota keselamatan yang lain lengkap bersenjata dan sebagainya.

YB Datuk Bolkiah Haji Ismail dua penggal diberikan kepercayaan menjadi wakil rakyat Pitas

Bolkiah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas antara lain berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus Pengenalan RELA Siri 1/2017 Anggota Rela Mukim Pinggan-Pinggan dengan kerajasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pinggan-Pinggan di Dewan Serbaguna, dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu, Pegawai Rela Daerah Pitas Edwin Joseph antara lain berkata, kursus ini sebagai langkah permulaan kepada mereka yang baru menyertainya dan sebagai penambahbaikan kepada kefahaman diri tentang pentingnya menjadi anggota sukarelawan.

Katanya, melalui ceramah yang disampaikan oleh beliau sendiri sedikit sebanyak dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan tatacara sebagai anggota Rela dengan memikul tanggungjawab memeliharan keselamatan negara. Kursus sehari suntuk itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti, taklimat Pengenalan Rela Slot 1 dan taklimat pengenalan Rela Slot 2.

Hadir sama, Ketua Perhubungan Rela Kawasan Pinggan-Pinggan merangkap Pengerusi Penganjur Ustaz Ilisam Nurkassim, Ketua Balai Polis Pitas Sarjan Mamat Senik, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Zamrah Abnaha, Penolong Pegawai Rela Daerah Sharin Abdullah, Pengerusi Penyelaras Umno Pinggan-Pinggan Haji Maslan Selen, Pengerusi JKKK Pinggan-Pinggan Indra Abdul Rahman.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top