Bajet Sabah 2018 Catat lebihan hasil empat tahun berturut-turut

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini membentangkan perbelanjaan mengurus RM4.104 bilion untuk Sabah bagi 2018 dengan lebihan hasil RM64.89 juta, sekali lagi membentangkan belanjawan lebihan sejak 2015. – Grafik Kredit, djKupang

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini membentangkan perbelanjaan mengurus RM4.104 bilion untuk Sabah bagi 2018 dengan lebihan hasil RM64.89 juta, sekali lagi membentangkan belanjawan lebihan sejak 2015.

Pentadbiran Musa turut mengumumkan kutipan hasil mencecah RM4.169 juta, peningkatan 9.2% berbanding anggaran hasil 2017, sambil menggariskan keyakinan ekonomi negeri akan terus mengukuh.

“Dalam tempoh di antara 2011 ke 2016, pencapaian ekonomi Sabah semakin mengukuh dan mampan. Dalam tempoh tersebut ekonomi negeri telah bertumbuh pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 25%,” kata Musa di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Menurutnya, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sabah menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada 59.3 bilion pada 2011 kepada RM73.8 bilion pada 2016.

“Kini ekonomi Sabah berada pada kedudukan ke-5 tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.”

Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah. Sektor itu menyumbang 40.8% daripada KDNK pada 2016, meningkat 31.3% dalam tempoh 5 tahun.

Sektor pertanian pula menyumbang 19.1% kepada KDNK pada 2016, di mana negeri itu terus kekal sebagai pengeluar terbesar minyak sawit mentah di Malaysia.

Menurut Musa, jumlah eksport bagi oleokimia berasaskan sawit meningkat dengan ketara daripada RM43.2 juta pada 2012 kepada RM554.2 juta pada 2016.

Musa mengunjurkan kutipan hasil jualan negeri daripada minyak kelapa sawit akan terus menjadi penyumbang utama, iaitu RM936 juta, atau 22.5% daripada hasil negeri.

Manakala royalti petroleum bertambah tahun ini kepada RM1.246 bilion melebihi anggaran asal RM985 juta, berikutan peningkatan harga dan pengeluaran minyak mentah dan gas.

“Ini merupakan amaun tertinggi royalti petroleum yang pernah diterima dalam sejarah negeri. Syukur Alhamdulillah,” kata Musa, sambil berkata royalti petroleum dijangka meningkat lagi tahun depan dengan sasaran sebanyak RM1.318 bilion, iaitu 31.6% daripada hasil negeri.

Dengan pengukuhan tersebut, bagi tahun depan Musa mencadangkan perbelanjaan pembangunan RM1.09 bilion, di mana hampir 77% (RM838.31 juta) jumlah itu daripada kerajaan negeri.

“Seperti bajet tahun-tahun sebelumnya, agihan bajet pembangunan tetap memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor ekonomi, diikuti dengan sektor sosial dan pentadbiran am,” kata Musa, dan menambah 54% (RM545.76juta) diperuntukkan untuk ekonomi dan 37.34% (RM313.05 juta) untuk sosial.

“Kerajaan negeri kekal komited untuk terus memperkukuhkan agenda pembangunan negeri khususnya bagi pembangunan kawasan luar bandar, pembangunan sektor pertanian, sektor perindustrian, sektor pelancongan, pembangunan modal insan serta kesejahteraan hidup rakyat,” kata Musa ketika membentangkan belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu, hari ini.

Pembangunan

Berdasarkan agihan mengikut kementerian, penekanan nampaknya diberikan kepada Kementerian Pembangunan Prasarana, di mana RM260.51 juta diperuntukkan untuk pembangunan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM175.72 juta), dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (117.41 juta).

Bagi 2018, pentadbiran Musa memperuntukkan sejumlah RM1.339 bilion untuk pembinaan dan naik taraf jalan raya dan jambatan, dan RM597.8 juta untuk loji rawatan air, tangki simpanan, saluran paip transmisi dan masalah luar jangka sistem bekalan air.

“Kemudahan prasarana ini merupakan tunjang dan nadi kepada kemajuan pembangunan sektor-sektor lain seperti sektor pertanian, sektor pelancongan dan sektor perindustrian serta perkhidmatan yang boleh memacu dan merancakkan lagi ekonomi kita.”

Pentadbiran Musa memperuntukkan RM509.7 juta untuk sektor pertanian, di mana RM59.1 juta diperuntukkan pembangunan.

“Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan tanaman, penyelidikan, akreditasi dan persijilan, penguatkuasaan kuarantin, pembangunan usahawan tani serta pengeluaran tanaman makanan seperti sayur-sayuran danbuah-buahan termasuklah tanaman makanan organik.”

Keutamaan diberikan kepada penanaman nanas, kelapa, pisang dan durian yang mempunyai potensi di pasaran tempatan dan eksport, serta tanaman kontak seperti keledek, kacang tanah dan kopi.

Turut diumumkan RM228 juta untuk kelangsungan program pelancongan dengan tumpuan mengalakkan penyertaan aktif warga luar bandar dalam bidang pelancongan ekologi dan desa.

“Bagi merangsang dan merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan khususnya di kawasan luar bandar dan bagi menggalakan penglibatan komuniti setempat, sebanyak RM12 juta lagi peruntukan tambahan disediakan khusus kepada Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar serta para penggiat seni.”

Musa (kanan ke-2) bersama tiga timbalannya, Datuk Yahya Hussin, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah (kanan) menunjukkan ucapan Belanjawan Negeri 2018 sebelum membentangkannya di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Share this post

scroll to top