Jambatan Labuan-Sabah bakal beri manfaat besar

Sekadar Gambar Hiasan

LABUAN: Jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah jika dilaksanakan pembinaannya, bukan sahaja memudahkan perhubungan penduduk antara dua wilayah itu, malah merancakkan ekonomi selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Ketika ini, penduduk Labuan dan Sabah terpaksa menaiki feri atau bot penumpang untuk berulang-alik pada jarak sejauh 10 kilometer yang bukan sahaja mengambil masa lama, malah membabitkan kos tinggi serta berdepan ancaman ombak besar dan laut bergelora.

Perjalanan menaiki feri penumpang dan kenderaan dari Labuan ke Menumbok di Sabah dan sebaliknya mengambil masa kira-kira 90 minit perjalanan sehala, manakala 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan laut bagi mereka yang menaiki bot penumpang.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan kajian kebolehlaksanaan untuk membina jambatan menghubungkan pulau bebas cukai itu dan tanah besar Sabah bakal memberi limpahan manfaat kepada penduduk Labuan jika dilaksanakan kelak.

KERAJAAN akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan untuk membina jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah bagi merancakkan ekonomi Labuan.

Katanya, pengumuman itu bukti kerajaan mendengar suara rakyat Labuan yang disampaikan beliau di segenap saluran tanpa putus asa.

“Ramai sebenarnya yang membantu saya dalam usaha ini termasuk pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Terima kasih kepada Perdana Menteri yang mendengar denyutan nadi rakyat Labuan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Ketika pembentangan Bajet 2018 sebentar tadi, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan dalam usaha meningkat sistem pengangkutan awam dan perhubungan lebih cekap, akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan untuk membina jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah bagi merancakkan pembangunan di pulau ini.

Sementara itu, penjawat awam di Labuan, Mohizam Mohamad, 32, berkata penduduk pulau ini sudah lama menanti untuk melihat pembinaan jambatan berkenaan menjadi kenyataan.

Katanya, ketika sektor minyak dan gas berdepan cabaran yang mengakibatkan ekonomi Labuan merosot, termasuk ramai diberhentikan, namun dengan adanya jambatan ia akan membantu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan tempatan.

“Saya yakin ekonomi Labuan akan kembali pulih jika kerajaan membina jambatan itu. Kami sudah lama menunggu, semoga ia menjadi kenyataan,”katanya.

Penduduk Kampung Kalanahan, Papar di Sabah, Emran Mohd Kadrih, 37, teruja dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana ia akan memudahkan penduduk Sabah yang bekerja di Labuan berulang-alik.

“Saya selalu berulang-alik Labuan – Papar menggunakan feri kenderaan, tetapi dengan adanya jambatan tentu memudahkan pergerakan kami terutama jika berlaku kecemasan,” katanya yang bekerja di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Labuan.

INFO Tentang Laluan Labuan-Menumbok

  • 10 kilometer jarak terdekat Labuan dengan pantai Sabah (Mempakul, Menumbok)
  • 90 minit tempoh perjalanan feri penumpang dan kenderaan (Menumbok-Labuan)
  • 15-20 minit tempoh perjalanan bot penumpang
  • RM2.50 tambang dewasa dan RM2.50 kanak-kanak penumpang feri
  • RM40-RM1,080 tambang kereta dan kenderaan berat
  • RM8 tambang basikal dan RM15-RM30 tambang motosikal
  • RM9.70 tambang bot laju / bot ekspres Menumbok-Labuan

Share this post

scroll to top