Meninggal dunia ketika turun Gunung Kinabalu

RANAU: Seorang pendaki meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu, hari ini.

Mangsa, Nazri Omar, 49, dari Bandar Baru Bangi, Selangor, disedari terpisah dan hilang daripada kumpulannya di Kilometer 8 laluan menuruni puncak gunung.

Kehilangan mangsa dilaporkan kepada Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) serta pihak Taman-Taman Sabah pada jam 1.15 tengah hari.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata berikutan itu pasukan MOSAR bersama anggota Taman-Taman Sabah serta malim gunung menjalankan operasi mencari mangsa.

“Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa turun oleh pasukan MOSAR menggunakan usungan sementara menunggu bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau.

“Sebaik tiba di Timpohon Gate pada jam 5.40 petang, doktor perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.

Difahamkan, punca kematian mangsa masih belum dapat disahkan.

Share this post

scroll to top