Pelan induk Halatuju rancak ekonomi, pembangunan Sabah

TAN Sri Musa Aman (tengah) bersama pemimpin dan ketua-ketua jabatan yang hadir di Majlis Perhimpunan Perdana, Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri & Persekutuan Tahun 2018 di Auditorium Utama, Bangunan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah, di Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata pelan induk Halatuju yang diperkenalkan beliau pada tahun 2003 sudah menjana limpahan ekonomi, meningkatkan hasil negeri dan merancakkan pembangunan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Musa berkata, pelan induk atau Agenda Pembangunan Negeri yang dirangka sebaik beliau menerajui kerajaan negeri itu merangkumi sektor teras yang mempunyai daya saing signifikan iaitu pelancongan, pertanian dan pembuatan serta pembangunan modal insan.

“Selepas memperkenalkan Halatuju, kita sedar perlu berhenti daripada bergantung sepenuhnya kepada hasil kayu balak sebagai sumber utama ekonomi dan mencari alternatif lain.

“Memandangkan Sabah dikurniakan keindahan alam semula jadi dan kaya khazanah budaya, kita jadikan pelancongan antara sektor dalam Halatuju yang hari ini menjana limpahan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan perniagaan di seluruh negeri.

“Sektor perkhidmatan didorong industri pelancongan membuktikan daya tahannya walaupun berdepan pelbagai cabaran. Sepanjang Januari hingga November lalu, seramai 3.3 juta pelancong melawat Sabah, peningkatan 7.8 peratus berbanding tempoh sama tahun 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani di sini, hari ini.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Sabah juga dikurniakan tanah luas dan subur serta iklim sesuai untuk sektor pertanian yang menjadi pemangkin ekonomi dalam menjayakan Halatuju.

Beliau berkata, banyak boleh dimanfaatkan melalui aktiviti pertanian, ternakan dan akuakultur.

Susulan itu, katanya, Pusat Ternakan Bersepadu di Keningau (KILC) ditubuhkan dan menghidupkan semula Desa Cattle di Kundasang yang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat luar bandar serta meningkatkan sosioekonomi setempat.

“Sabah juga adalah pengeluar terbesar Minyak Sawit Mentah (CPO). Dari segi pendapatan, cukai jualan CPO penyumbang kedua terbesar kepada tabung negeri dengan purata RM800 juta hingga RM1 bilion.

“Kerajaan juga melaksanakan usaha berterusan membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas untuk pelabur. Ini terbukti dengan pembinaan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah, Projek Amonia dan Urea Sabah (SAMUR) serta lain-lain projek berkaitan.

“Rancangan ekonomi di bawah Halatuju adalah sejajar Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kita gembira program ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada Sabah,” katanya.

Dalam industri minyak dan gas, beliau turut berkongsi kejayaan negeri dalam projek petroleum huluan apabila mendapat 25 peratus ekuiti melalui tiga kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Sabah.

Antaranya, konsortium Sapura Kencana Energy Sabah Incorporated, M3nergy Berhad dan Petronas Carigali Sdn Bhd untuk Blok SB330, SB331 dan SB332 di kawasan daratan.


Loading...

Share this post

scroll to top