Peter Anthony direman 3 hari

PETER (Dua dari Kanan) orang kepercayaan Datuk Seri Shafie Apdal sewaktu menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang mana kedua-duanya sebelum ini pernah ditahan berhubung SKANDAL RM 1.5 Bilion

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berkaitan kes pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai RM155 juta di daerah Tongod, di negeri ini.

Perintah dikeluarkan Majistret Cindy MC Juce Balitus, susulan permohonan SPRM mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Peter, 47, yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 11.15 pagi dengan menaiki sebuah PERODUA Alza putih dan kedua-dua tangan bergari.

Beliau diiringi beberapa pegawai SPRM kemudian dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah sambil ditemani peguamnya, Martin Tommy, manakala SPRM diwakili Penolong Kanan Penguasanya, Khairudin Kilau.

Peter kemudian dibawa meninggalkan mahkamah pada jam 12.20 tengah hari.

Semalam, beliau yang dicari SPRM sebelum ini bersama seorang lagi individu, ditahan di pejabat suruhanjaya itu di sini selepas disiasat kira-kira tiga jam.

Seorang lagi yang dicari SPRM, Michael Persius Ubu, 61, masih belum dapat dikesan sehingga kini.

NAIB Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony, diiring pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari mahkamah setelah mendapat perintah tahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembelian tanah ladang kelapa sawit di Tongod bernilai RM155 Juta di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

Ini kali kedua Peter ditahan suruhanjaya terbabit selepas kali pertama disiasat bersama 12 individu lain, termasuk Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kes terdahulu berkaitan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan untuk pembangunan luar bandar di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Share this post

scroll to top