Peter Anthony muncul di pejabat SPRM

PETER ANTHONY

NAIB Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Kota Kinabalu pada 10.25 pagi hari ini dipercayai bagi membantu siasatan kes urusan pembelian tanah ladang kelapa sawit di Tongod bernilai kira-kira RM155 juta.

Anthony, 47, turut ditemani peguamnya Martin Tommy, Setiausaha Agung WARISAN Loretto Padua Jr dan sekumpulan penyokong beliau.

Kelmarin, SPRM dalam kenyataan media dilaporkan sedang mengesan Anthony dan seorang lagi individu dikenali sebagai Michael Persius Ubu, 61, dari Taman Rainfield, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, setakat ini kelibat Michael masih tidak kelihatan.

Mereka diberi tempoh 48 jam untuk menyerah diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu bagi membantu siasatan berkaitan kes urusan pembelian tanah berkenaan.

Sebelum ini, Peter adalah antara 13 individu yang disiasat SPRM berhubung kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan untuk pembangunan luar bandar di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Share this post

scroll to top