3 Jam disiasat

Naib Presiden Warisan, Peter Anthony

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony, disiasat kira-kira tiga jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, berhubung siasatan kes pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai kira-kira RM155 juta.

Peter, 47, adalah antara dua individu dicari SPRM berhubung siasatan kes pembelian tanah di daerah Tongod.

Beliau dilihat meninggalkan pejabat SPRM pada jam 1.20 tengah hari tadi dalam keadaan kedua-dua tangan bergari dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

Peter kemudian dibawa menaiki sebuah PERODUA Alza ke lokasi tidak diketahui, namun difahamkan kemungkinan dibawa ke rumahnya untuk tujuan siasatan lanjut.

Pagi tadi, Peter yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia tiba di pejabat SPRM Sabah pada jam 10.25 pagi dengan diiringi peguamnya, Martin Tommy serta Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua Jr.

Kelmarin, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Peter dan seorang lagi individu, Michael Persius Ubu, 61, dari Taman Rainfield, di sini untuk menyerah diri di pejabat SPRM Sabah bagi membantu siasatan berkaitan kes urusan pembelian tanah berkenaan.

Sebelum ini, Peter adalah antara 13 individu yang disiasat SPRM berhubung kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan untuk pembangunan luar bandar di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Share this post

scroll to top