Gabungan Sabah, Gema Gesa Pihak Berkuasa Ambil Tindakan

KOTA KINABALU: Gabungan Sabah (USA), iaitu pakatan parti pembangkang tempatan Sabah dan Gabungan Muda Sabah (Gema) menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pihak memfitnah Pengerusi parti itu, Datuk Mohd Noor Mansoor.

Pengerusi Gema Jamain Sarudin berkata beliau mengesan perkara itu dimuatnaik seorang pemilik akaun di laman sosial Facebook bernama Juliana Siton, tiga hari lalu.

Katanya Juliana menulis komen di video bertajuk ‘Rusuhan Tersembunyi (The Silent Riot) By Nadira Ilana mengatakan ketua rusuhan ini adalah Mohd Noor Mansur? Dialah ketua Gabungan Sabah sekarang’.

“Kenyataan yang dikeluarkan Juliana adalah berunsur fitnah terhadap pengerusi Gabungan Sabah yang mengaitkannya dengan rusuhan pada 1985.

“Beliau bagaimanapun sudah memadam komen ini dan mujurlah ada ahli kita yang sempat melakukan tangkapan paparan telefon dan dikongsikan di aplikasi Whatapps Gabungan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat laporan polis bersama 10 lagi anggota Gabungan Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada Jumaat.

Katanya, kenyataan baharu yang dimuatnaik oleh Juliana mengatakan komen beliau hanya berbentuk soalan tidak boleh diterima, tambahan pula ia dikira sebagai satu tuduhan jika dibawa ke mahkamah.

“Berikutan itu kita mahu pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan menyeluruh agar tindakan tegas dapat dikenakan terhadap pemilik akaun ini.

“Pihak peguam kami juga akan menghantar laporan ini kepada pihak SKMM untuk disiasat mengikut Akta 233 SKMM,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Wanita dan Ketua Pemuda Wanita Gabungan Sabah Datin Normilah Siong berkata pihaknya tidak mahu perkara itu dipanjangkan lagi dan meminta agar pemilik akaun berkenaan memberi bukti jelas mengenai apa yang dikatakan.

“Tindakan beliau sudah mengaitkan seseorang dengan isu besar, iaitu berkaitan dengan pengganas tambahan pula individu yang dikatakan adalah pengerusi Gabungan Sabah dan bekas Menteri Kewangan Sabah.

“Kami mahu agar pemilik akaun ini tampil memberikan bukti jelas berkaitan motif beliau yang mengaitkan pengerusi kami dengan perkara ini,” katanya.

Share this post

scroll to top