Hak rakyat Sabah dipulangkan

NAJIB TUN RAZAK, Musa Aman dan Joseph Pairin Kitingan bersama perwakilan melaungkan slogan “Bersatu” dalam majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-32 di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. MINGGUAN/IRWAN MAJID

KOTA KINABALU 18 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pentadbirannya tidak akan mengulangi langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak pernah membincangkan tentang hak rakyat Sabah sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata, sekiranya ada hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diambil di peringkat Persekutuan, hak itu akan diserahkan kembali seperti sebelum­nya.

“Saya kata bahawa saya tidak berniat ambil hak rakyat Sabah dan kalau kita terambil kita kena pulangkan balik. Ini perjuangan kita bukan Parti Bersatu Sabah (PBS) sahaja, kita berkongsi sentimen yang sama.

“Apa yang saya mahu kita berlaku adil, bagi saya sedikit masa untuk mengkaji kerana jika saya berjumpa tiga orang peguam, ketiga-tiganya memberi tafsiran berbeza untuk MA63,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-32 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Musa Aman; Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalannya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, pemimpin-pemimpin BN dan Kabinet negeri serta ahli-ahli PBS.

Terdahulu, dalam ucapan dasarnya pada kongres itu, Pairin berkata, Dr. Mahathir semasa era pentadbirannya telah melarang sebarang perbincangan mengenai MA63 dan turut menakutkan rakyat Sabah dengan melakukan penahanan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) terhadap sesiapa sahaja yang membangkitkan isu berkenaan.

Sementara itu, berhubung jumlah peruntukan besar untuk Sabah dalam Bajet 2018, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, pemberian tersebut adalah kerana beliau memikul sepenuhnya tanggungjawab membangunkan Sabah selepas usaha itu gagal dilakukan oleh Dr. Mahathir.

Selain itu, beliau menyatakan tidak pernah melihat rakyat Sabah sebagai bertaraf ‘kuli-kuli sahaja’, sebaliknya negeri itu sebenarnya mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber sehingga membolehkan mereka dilantik memegang banyak jawatan penting dalam Kabinet serta pelbagai agensi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, persepsi yang mengatakan kononnya rakyat Sabah tidak mampu berdaya saing timbul adalah disebabkan oleh kegagalan pemimpin terdahulu untuk berlaku adil, justeru tanggapan tersebut perlu diperbetulkan.

“Saya nak betulkan apa yang ada orang 22 tahun jadi Perdana Menteri tidak buat, saya kena buat apa yang beliau tidak buat maka sebab itulah peruntukan Sabah dan Sarawak lebih tinggi kali ini,” jelasnya.

Menurut beliau, pada era pentadbirannya, lebih ramai pemimpin dari Sabah diberi peluang menganggotai Kabinet manakala peruntukan besar disalurkan bagi membangunkan pelbagai projek termasuk penyediaan bekalan air dan elektrik di negeri itu. – UTUSAN ONLINE


Loading...

Share this post

scroll to top