Bajet 2018: Musa hargai peruntukan besar untuk Sabah

KETUA Menteri, Tan Sri Musa Aman pada sidang media selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Bajet 2018 di Sri Gaya, Kota Kinabalui. – Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sabah menyifatkan Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bajet yang inklusif, realistik dan komprehensif berdasarkan beberapa tunjang yang digariskan.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kerajaan negeri bagi pihak rakyat Sabah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin kepada keperluan pembangunan negeri serta kepentingan penduduk Sabah.

“Antaranya pembesaran Lapangan Terbang Sandakan dan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk sekolah daif di negeri ini.

“Begitu juga peruntukan besar untuk perumahan rakyat, jambatan, jalan kampung, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta penyeragaman harga dan 1AZAM,” katanya kepada media selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Bajet 2018 di Sri Gaya, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan Sabah turut menyambut baik langkah untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan jambatan Sabah-Labuan yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan berkaitan.

Katanya, Bajet 2018 jelas membuktikan keikhlasan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa meletakkan kesejahteraan serta kepentingan rakyat sebagai teras utamanya.

“Ini bermakna dalam apa juga keadaan ekonomi, kerajaan tidak berkompromi dalam soal melindungi dan membela nasib rakyat.

“Dalam masa sama, kerajaan tetap beriltizam untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat dengan beberapa langkah yang diumumkan tadi,” katanya.

Share this post

scroll to top