Pinda perlembagaan negeri sabah, selaraskan status agama di sabah dengan 20 perkara

Tahukah Anda ? Kerajaan Sabah memperuntukkan RM 31, 440, 000 kepada sekolah dan Badan Bukan Islam tahun ini (2017)

Terrence Siambun

“Sekiranya LDP benar-benar mendokong 20 Perkara serta kebebasan kepada rakyat Sabah untuk menganuti apa-apa agama yang mereka sukai, LDP sepatutnya berusaha meminda Perlembagaan Negeri Sabah 1973 (yang memperuntukkan agam Islam menjadi agama rasmi) agar status Agama di Sabah ini selaras dengan 20 perkara.”_YB Terence Siambun, Borneo Today, 8 November 2017. Baca Selanjutnya

ULASAN:

Rakyat Sabah tanpa mengira anutan agama amat kesal dengan tingkah laku sebilangan ahli politik sejak kebelakangan ini apabila isu agama semacam sengaja diangkat dan diperdebatkan secara terbuka (dalam konteks negeri Sabah ianya sensitif kerana ada sejarahnya tersendiri).

Tindak-tanduk mereka ini (mengaitkan agama dengan politik) ternyata bercanggah dengan suasana Sabah yang rakyatnya hidup aman dan menghormati kepercayaan kaum lain, malah turut sama meraikan perayaan kaum lain dalam suasana harmoni. Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata Sabah kekal bebas daripada isu berkaitan agama kerana rakyat saling menghormati antara satu dengan lain tanpa mengira kaum, kepercayaan dan budaya masing- masing.

Kerajaan sentiasa membantu badan dan sekolah agama bukan Islam seperti yang dilakukan selama ini. Sejak 2004, peruntukan tahunan untuk sekolah dan badan agama bukan Islam semakin meningkat.

Rekod kerajaan negeri menunjukkan bahawa sejak 2014, sejumlah RM188,542,180 telah dikeluarkan kepada badan-badan ini dan RM145,448,019 ke sekolah-sekolah.

Tahun 2017, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memperuntukkan RM31.4 juta kepada sekolah dan badan-badan bukan Islam di Sabah.

Daripada jumlah itu, RM14 juta ialah untuk sekolah termasuk sekolah persendirian Cina dan mubaligh, termasuk tadika.

Jumlah peruntukan untuk gereja, tokong Cina, kuil Hindu dan tempat ibadat Sikh ialah RM17.4 juta.

Daripada jumlah yang diberi kepada badan-badan bukan agama Islam di Sabah, RM11.8 juta diperuntukkan kepada gereja; RM5.3 juta kepada tokong Cina dan RM270,000 kepada kuil Hindu dan Sikh.

Bagi peruntukan untuk sekolah, Sekolah Persendirian Cina akan menerima RM3.6 juta; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (RM2.1 juta) sementara Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan akan menerima RM2 juta.

Jumlah terbesar, adalah untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang berjumlah RM5.45 juta dan tadika akan menerima RM605,000 dan sekolah mubaligh swasta RM215,000.

Sejumlah 551 tempat ibadat dan sekolah di Sabah akan mendapat faedah daripada peruntukan itu.

Peruntukan kepada badan-badan agama bukan Islam ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menegakkan kebebasan beragama tidak ada diskriminasi.

Oleh itu semua pihak perlu bertindak secara bertangungjawab apabila membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan agama dan hak-hak semua warganegara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Pemimpin Sabah

Tarikh 23 September 1973 menjadi detik penting dalam perkembangan Islam di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sabah dengan menetapkan Islam sebagai agama rasmi Sabah sepertimana yang termaktub dalam Perkara 5(A).

Dalam erti kata lain, penetapan Islam sebagai agama rasmi negeri Sabah adalah datangnya dari hasrat rakyat Sabah sendiri menerusi majoriti dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan bukan menerusi dasar yang dibawa oleh Semenanjung Tanah Melayu.

Justeru, penetapan ini tidak bercanggah dengan Perkara 1 Perjanjian Dua Puluh (20) Perkara yang menyebut “Walaupun tiada bantahan terhadap Islam menjadi agama rasmi Malaysia, Agama rasmi tidak ada di Borneo Utara dan peruntukan berhubung dengan Islam mengikut perlembagaan Malaya hendaklah tidak merangkumi Borneo Utara.”  – ABIM

Share this post

scroll to top