YB Pembangkang Sambut Baik Bajet 2018 Sabah

DIILULUSKAN.. Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Bajet Negeri 2018 berjumlah RM4.104 bilion, yang merupakan bajet lebihan selama empat tahun berturut-turut.

KOTA KINABALU 21 Nov. – Seorang wakil rakyat pembangkang menyambut baik pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui Bajet 2018 Sabah yang diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam daripada PKR, Dr. Roland Chia berkata, peruntukan sebanyak RM37.5 juta untuk menambahbaik beberapa jalan yang menghubungkan Inanam dan Kota Kinabalu amat ditunggu-tunggu rakyat dan diharap dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku selama ini.

“Rakyat khasnya di Inanam tidak sabar lagi kerana ibu bapa terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana kesesakan jalan raya di Jalan Kionsom, Jalan Putatan, Jalan Menggatal, Jalan Tuaran – Bulatan Pekan Menggatal dan Jalan Tuaran Bandar Sierra, Telipok,” katanya ketika perbahasan Bajet 2018 Sabah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain peruntukan berkenaan, Dr. Roland turut menyambut baik usaha kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menyediakan peruntukan sebanyak RM492.2 juta bagi meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 di Inanam yang dijangka mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan di situ.

Katanya, sebelum ini, banyak aduan diterima daripada penduduk yang terpaksa menanggung kos untuk menyewa bilik hotel jika berlaku gangguan bekalan selain kerja-kerja harian di rumah terpaksa ditangguhkan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penambahan kapasiti ini, saya berharap warga DUN Inanam khususnya yang tinggal di persekitaran Telipok tidak akan mengalami masalah bekalan air.

“Saya menerima banyak aduan daripada warga Telipok yang terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk tinggal di hotel berdekatan untuk mandi selain kerja-kerja harian membersihkan rumah dan mencuci baju ditangguhkan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Roland turut memuji perancangan kerajaan untuk mencegah banjir di Telipok melalui pembangunan skim tebatan banjir di Bandar Sierra, Sungai Tebobon dan Sungai Rampayan, Menggatal yang telah diumumkan Ketua Menteri.

“Saya menyarankan agar kerja-kerja ini dijalankan segera demi mengelakkan bencana alam banjir yang amat perit sekali yang berlaku di pekan Menggatal pada 15 Ogos lalu.

“Pekan Menggatal ditenggelami air sungai yang melimpah dari Sungai Mansiang sehingga Sungai Rampayan, jutaan nilai ringgit daripada segi harta dan perniagaan di sekitar Menggatal termusnah akibat bencana ini,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Share this post

scroll to top