Guru Malaysia, tolong sokong Cikgu Azizan

LENCANA, tanda sokongan #PrayForCikguAzizan. Seorang guru yang dihadapkan ke Mahkamah kerana tegas dalam isu disiplin murid.

KUALA LUMPUR: Guru di seluruh negara diseru tampil menzahirkan solidariti dan sokongan moral kepada guru Sekolah Rendah Taman Semarak, Nilai, yang bakal dihadapkan ke mahkamah, Selasa ini atas tuduhan mengenakan disiplin tegas terhadap seorang pelajarnya.

Guru berkenaan dikenali sebagai Cikgu Azizan, dikatakan menampar seorang pelajar yang didakwa melakukan kesalahan disiplin berat berulang antaranya, menghidu gam, bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), dalam satu kenyataan Jumaat lalu, menyeru semua guru di seluruh negara hadir memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan, yang mungkin kehilangan jawatan sekiranya didapati bersalah dalam perbicaraan.

“NUTP akan menyediakan peguam untuk membela Cikgu Azizan. Pada masa sama, NUTP ingin memanggil semua guru di Malaysia hadir memberikan sokongan moral, dengan datang ke mahkamah pada 19 Disember, jam 8.30 pagi di Mahkamah Majistret Seremban,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Agung NUTP, Henry Tan Huat Hock.

Sementara itu, NUTP dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Taman Semarak, Nilai, dan qariah masjid setempat akan mengadakan Majlis Solat Hajat Dan Solidariti untuk Cikgu Azizan, malam ini.

Majlis diadakan di Masjid Taman Semarak, Nilai itu dijangka turut dihadiri Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak.

“Tuan, puan dijemput hadir sebagai solidariti mempertahankan Cikgu Azizan yang akan didakwa di mahkamah, 19 Disember ini, atas ketegasan beliau mendidik dan menjaga disiplin pelajar di sekolah.

“Kepada yang bukan Islam, anda juga dijemput tetapi perlu jaga sensitiviti masjid dengan pakai pakaian bersesuaian,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook rasmi NUTP.

Terdahulu, satu majlis solat hajat turut diadakan di Surau Taman Semarak 1.

Pada 31 Oktober lalu, Azizan menghadiri pendengaran sebutan pertama kes di Mahkamah Majistret Seremban dan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah, kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan.

Sekiranya didapati bersalah, Azizan akan menghadapi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Menurut laporan yang disiarkan sebuah laman web, selepas pendengaran pertama, hakim menetapkan Azizan diikat jamin RM500.

Laporan itu menyebut Azizan digari dan ditempatkan bersama 13 tahanan lain, yang terbabit kesalahan jenayah serius termasuk dadah.

“Dia didakwa kerana mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar itu. Untuk maklumat anda, dia melakukannya kerana pelajar itu menghidu gam di sekolah dan mempengaruhi tiga pelajar lain untuk melakukan perkara sama.

“Kesalahan itu dilakukan sejak tahun lalu. Pelajar itu juga terbabit kes buli, memukul pelajar lain dan ponteng sekolah,” kata laporan itu.

Kes Azizan menjadi viral di laman sosial dan mendapat sokongan ramai pihak.

Sokongan kepada Azizan diperluaskan menerusi hashtag #PrayForCikguAzizan selain nasihat kepada guru lain untuk mengambil iktibar daripada kes berkenaan sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian sama kepada mereka, satu hari nanti.


Berikut adalah serba sedikit perjalanan kes beliau:

31 Oktober 2017: Sebutan Kes. Berhadapan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah di Mahkamah Majistret Seremban.

Beliau tidak menyangka disabitkan atas seksyen tersebut. Mengaku tidak bersalah di atas tuduhan itu sebaik sahaja Hakim membicarakan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500

Semasa proses ikat jamin oleh seorang rakan, beliau telah di tempatkan di lokap mahkamah bersama-sama pesalah jenayah lain yang terlibat dengan dadah dan lain-lain.

Dalam lokap itu ada lebih kurang 13 org pesalah .Tangan beliau DIGARI bersama seorang pesalah dadah sepanjang perjalanan dari lokap mahkamah ke lobi mahkamah untuk urusan ikat jamin yang jaraknya 100 meter.

Dakwaan ke atas beliau dibuat atas tuduhan mendenda seorang murid. Untuk pengetahuan sahabat semua, beliau mendenda murid tersebut atas kesalahan:

  • Menghidu gam dalam kawasan sekolah dan turut mempengaruhi murid lain (3 orang) supaya turut serta.Kesalahan tersebut dilakukan sejak 2016.
    Buli.
  • Memukul murid lain.
  • Ponteng dengan memanjat pagar sekolah.

27 November 2017: Dokumen pertuduhan telah diserah kepada beliau.

19 Disember 2017: Perbicaraan akan bermula.

Kita doakan beliau tabah dan bersabar atas ujian ini, walau kita tidak mengenali tetapi kita semua tetap bersama. Ini hari beliau, mungkin nanti tiba hari kita.

Walau di mana pun kita berada zahirkan sokongan anda, biarpun tidak dapat hadir ke mahkamah, kita gunakan semaksimanya media yang ada, gunakan hastag #PrayForCikguAzizan


Loading...

Share this post

scroll to top